Custom Search

MOHON HAJAT DIMULAI DENGAN SOLAWAT MUNJIYYAH

Pengertian & Peristiwa dalam Bulan Rabi'ul Awwal

Pengertian

Bulan Rabi'ul Awwal bermaksud bulan bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan  pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah. Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam,
Rasulullah s.a.w telah mengekalkan nama Rabi'ul Awwal ini sehinggalah sekarang.

Peristiwa-Peristiwa Penting

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabi'ul Awwal ini dan antaranya ialah:

1. Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah s.a.w

Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabi'ul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabi'ul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa Nabi s.a.w lahir pada 9 Rabi'ul Awwal tahun Gajah.

2. Perlantikan Nabi Muhammad s.a.w menjadi Rasul

Dalam bulan Rabi'ul Awwal inilah Nabi s.a.w diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi s.a.w berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah Baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.

3. Hijrah Rasulullah s.a.w

Tarikh Hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabi'ul Awwal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabi'ul Awwal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.

4. Berlakunya Peperangan

Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah s.a.w di antara tentera Islam dan tentera kuffar. Antara peperangan yang berlaku dalam bulan Rabi'ul Awwal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.

5. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah s.a.w

Rasulullah s.a.w telah wafat pada hari Isnin 12 Rabi'ul Awwal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda s.a.w wafat di rumah isterinya Aisyah r.a dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

6. Abu Bakar r.a menjadi Khalifah

Pada hari Rasulullah s.a.w wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah Saidina Abu Bakar r.a di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah s.a.w yang diketuai oleh Saidina Ali r.a.

7. Pembukaan Iraq

Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid r.a telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq pada zaman Saidina Abu Bakar r.a.

8. Pembukaan Baitul Muqaddis

Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583H.

9. Kejatuhan Empayar Kerajaan Islam Sepanyol

Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.


Sumber: Al-Azim

Tips Elak Histeria: Haron Din Saran Amal Muawizat

Kejadian histeria adalah fenomena yang sering berlaku di sekolah-sekolah berasrama penuh yang perlu diambil perhatian oleh pelbagai pihak di samping mengamalkan beberapa kaedah, amalan dan doa tertentu bagi mengatasi gejala terbabit. Iklan

Bagi menghindari kejadian histeria atau rasuk akibat gangguan makhluk halus berulang di kalangan para pelajar sekolah asrama mahupun orang awam, salah satu amalan dan petua yang sebaiknya diamalkan ialah Muawizat.

Muawizat adalah surah-surah yang terdiri daripada surah al-Ikhlas,al-Falaq dan an-Nas yang dibaca setiap hari baik sebelah pagi atau pada sebelah malam, selain hadis sahih Rasulullah s.a.w menyebut ayatul Qursi juga turut dibaca bagi menghindari kejahatan dan gangguan makhluk halus.

Demikian saranan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din ketika diminta mengulas berhubung kejadian histeria di sekolah-sekolah yang terpaksa ditutup akibat kejadian Histeria.

Beliau turut menjelaskan beberapa punca yang menyebabkan terjadinya kerasukan di kalangan para pelajar antaranya ialah berlaku 'breakdown' pada perasaan atau jiwa seseorang disebabkan tekanan (tension) belajar yang terlalu tinggi di samping kelemahan seseorang mengalami emosi ketakutan yang bersangatan sehingga memudahkan gejala makhluk halus mengganggu hingga terjadinya histeria.

"Ketakburan juga boleh menyebabkan histeria iaitu berani yang terlampau sehingga mengganggu atau mencabar tempat-tempat yang dipercayai ada makhluk halus," katanya yang kini berada di Langkawi ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

"Selain itu, akibat manusia yang menceroboh kawasan 'mereka' hingga mereka datang 'membalas' pula.

"Dan fenomena ini tidak hanya berlaku di sekolah-sekolah agama, sekolah biasa atau berasrama penuh sahaja tetapi juga banyak terjadi di kilang-kilang serta tempat orang berkenduri kendara," kata pengamal perubatan Islam itu.

'Pindahkan' makhluk halus ke kawasan lain

Ini menjelaskan lagi katanya bahawa dunia ini tidak didiami oleh manusia sahaja malah turut dihuni oleh makhluk-mahkluk lain juga yang dikenali dengan pelbagai nama dan oleh yang demikian manusia sewajarnya tidak sewenang-wenangnya menceroboh kawasan 'mereka' atau lebih baik lagi berdoa kepada Allah SWT supaya dihindari dari gangguan jin syaitan mahupun makhluk halus.

"Sebaik-baiknya sebelum buat bangunan atau sekolah di satu-satu kawasan, perlu berdoa terlebih dahulu supaya dilindungi ataupun 'memindahkan' makhluk tersebut ke kawasan yang lain," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Rasullulah juga turut berdoa kepada Allah agar dilindungi daripada diganggu oleh makhluk yang mendiami alam ghaib ini.

Doa tersebut katanya berbunyi begini: "Wahai bumi, tuhanku dan tuhanmu sama iaitu Allah, aku mohon perlindungan Allah daripada kejahatanmu dan kejahatan yang keluar darimu, dan kejahatan yang turun atasmu, kejahatan yang melata atasmu seperti binatang berbisa dan mahkluk halus yang mendiami tempat ini serta keturunan-keturunan mereka."

Sebelum itu, Mufti Selangor, Dato' Mohd Tamyes Abd Wahid, yang turut mengulas kejadian terbabit dilaporkan berkata bahawa apabila seseorang takut kepada syaitan dan makhluk halus seperti jin, ia hanya akan menyebabkan makhluk itu semakin bongkak.

Jangan tinggal solat!!

"Kita ambil contoh, kadang-kadang pelajar yang tinggal di asrama, khususnya pelajar perempuan, sering ditakut-takutkan dengan kewujudan 'penunggu' di bilik air dan disuruh berhati-hati sehingga akhirnya mereka percaya," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar di sekolah berkenaan tidak meninggalkan solat dan menjaga disiplin dan apabila seseorang meninggalkan solat, amat mudah syaitan mengganggu menyebabkan kejadian seperti histeria.

Mohd Tamyes yang mempunyai pandangan yang sama dengan Haron Din berkata, mahkluk halus seperti jin berada di sekeliling manusia, cuma ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Seperti manusia, katanya, ia memiliki tempat tinggal dan selalunya menghuni rumah yang ditinggalkan kosong.

"Semua pelajar perlu berhati-hati dan mempunyai kekuatan diri supaya tidak mudah dirasuk serta tidak mudah takut dengan gangguan syaitan dan iblis,katanya - azm

(Interbiu dengan Dato' Haron Din berhubung kes histeria ini dibuat dua tahun lalu, sekadar panduan dan rujukan kepada yang terlibat dan yang mahu mengambil pengajaran daripadanya- wallahualam)


Sumber: Azamin Amin, Harakah Daily