Pengertian Bulan Safar
Setelah kedatangan Islam, Rasullullah mengekalkan nama bulan ini dengan nama bulan Safar sehinggalah ke hari ini.
Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Safar
Ada berbagai peristiwa yang berlaku di dalam bulan Safar. Diantara peristiwa penting yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w dan wajar dikenang oleh kita ialah:
Peristiwa 1
Persidangan Darul-Nadwah Persidangan Darul-Nadwah adalah persidangan yang dianjurkan oleh pihak Musyrikin Jahiliah yang terdiri dari berbagai-bagai kabilah di Mekah. Persidangan ini dianjurkan khas untuk menyekat, menekan dan melumpuhkan terus pengaruh dan dakwah Rasullullah saw.
Persidangan ini dipengerusikan oleh Abu Jahal dan dihadiri juga oleh Iblis yang menyamar sebagai seorang tua dari Najad. Keputusan dari persidangan ini ialah Rasulullah saw dijatuhi hukum bunuh dan setiap kabilah hendaklah menghantar seorang wakil yang terdiri dari pemuda yang paling gagah untuk sama-sama membunuh Rasulullah saw.
Oleh itu keluarga Rasullullah saw dari kabilah Bani Abdul Manaf tidak akan mampu untuk membalas dendam terhadap semua kabilah-kabilah yang terlibat dalam pakatan pembunuhan itu. Maka Allah ta'ala telah memerintahkan Rasullullah saw keluar berhijrah dari Mekah ke Madinah.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah mula keluar dari rumahnya pada waktu malam di akhir bulan Safar dan pendapat yang lebih masyhur mengatakan bahawa Rasulullah mula keluar dari rumahnya pada bulan Rabi'ul Awwal setelah 13 tahun berdakwah di Mekah.
Peristiwa 2
Rasullullah Mula Sakit Satu lagi peristiwa penting yang berlaku di bulan Safar ini ialah pada akhir bulan ini setelah kembalinya Rasullullah dari mengerjakan Haji Wida' (haji terakhir Rasullullah saw) beliau mula ditimpa sakit.
Baginda wafat pada 12 Rabi'ul Awwal tahun 11 Hijriah. Rasullullah mula merasai sakit yang berat sewaktu beliau di rumah isterinya Saidatina Maimunah r.a.
Baginda telah memanggil kesemua isteri-isterinya yang lain untuk meminta izin agar beliau dibenarkan diam di rumah Saidatina Aisyah r.a dan beliau telah wafat di rumah Saidatina Aisyah r.a.
Fadhilat (Amalan-amalan Sunat)
Amalan-amalan sunat di bulan Safar adalah sama seperti amalan-amalan sunat di bulan-bulan lain.
Tiada amalan-amalan istimewa yang khas untuk bulan Safar yang menjadi amalan Rasulullah s.a.w ataupun para sahabat mahupun salafus-soleh.
Kita dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan baik dari hari ke hari tanpa mengira apa jua bulan dalam taqwim.
Tingkatkan mutu amalan-amalan fardhu dan tambah amalan-amalan sunat pada setiap masa seperti yang disarankan oleh Islam tidak kira di dalam bulan mana sekalipun.
Yang penting adalah niat yang disertakan keikhlasan.
Kepercayaan dan Amalan-amalan Khurafat
Walaupun sudah semakin kurang namun masih ada segelintir di kalangan masyarakat kita yang masih berpegang dengan kepercayaan dan amalan-amalan karut datuk nenek moyang kita yang entah dari mana asasnya.
Di antara kepercayaan dan amalan-amalan karut yang berlaku dan ada kaitan dengan bulan Safar itu ialah;
- Rabu terakhir adalah hari malang
- Biawak petanda celaka
- Burung hantu petanda kemudharatan
- Burung gagak petanda kematian
- Bulan Safar adalah bulan bala
- Kononnya untuk mengelakkan petanda-petanda buruk ini dari berlaku maka disunatkan mandi Safar, berpuasa dan membuat kenduri tolak bala khas di bulan Safar. Kepercayaan dan amalan-amalan di atas tadi adalah khurafat kerana tiada asas ataupun sumber rujukan dari mana asalnya.
Adapun ada hadith-hadith yang mengatakan tentang perkara-perkara tersebut adalah ditolak kerana ia adalah hadis palsu yang sengaja direka-reka dan sudah dinafikan oleh satu hadith shahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;
Maksudnya: Tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudharatan burung, tiada bala bulan Safar dan larilah engkau dari orang yang berpenyakit kusta seperti mana engkau lari dari singa.
Maka hukum berpegang dengan kepercayaan karut adalah ditolak. Jika ia berkaitan atau menyalahi akidah maka ia boleh membawa kepada syirik dan merosakkan iman. Apabila iman sudah rosak, maka ia akan mempengaruhi amalan maka amalan juga tidak akan diterima oleh Allah subhanahu wa ta'ala.
Beramal dengan perkara-perkara tersebut juga adalah ditolak kerana ia adalah bid'ah dhalalah. Maka beramal dengan perkara-perkara bid'ah dhalalah adalah haram hukumnya. Dan ada banyak lagi kepercayaan dan amalan-amalan yang karut berkaitan dengan bulan Safar ini mengikut kawasan-kawasan dan kaum-kaum tertentu.
Oleh itu ilmu agama yang berpandukan al-Qur'an dan as-Sunnah adalah neraca untuk menilai setiap sesuatu sama ada mengikut Syarak atau sebaliknya. Dalam memperbetulkan perlakuan segelintir umat di kalangan masyarakat Islam yang masih berpegang dengan kepercayaan dan amalan-amalan karut ini, maka pendakwah dan individu yang faham dan ingin membetulkannya hendaklah melengkapkan diri dengan ilmu agama dan methodologi dakwah itu sendiri agar kerja dakwah itu menjadi lebih berkesan dan lancar.
Sumber: Al-Azim